Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK)
Falsafah Pendidikan Kebangsaan
(FPK)
"Pendidikan di Malaysia adalah satu usaha berterusan ke arah
memperkembangkan lagi potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu
untuk mewujudkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek,
rohani, emosi dan jasmani. Usaha ini adalah bagi melahirkan rakyat
Malaysia yang berilmu pengetahuan, berakhlak mulia, bertanggungjawab,
berketrampilan dan berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri serta
memberi sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran keluarga,
masyarakat dan negara."
Falsafah pendidikan yang menjadi panduan bagi semua aktiviti pendidikan
di Malaysia dekenali sebagai FPK. Dengan adanya FPK, maka sistem
pendidikan negara sebenarnya menganjakkan diri ke kedudukan terkehadapan
dengan mengungkapkan secara jelas prinsip dan nilai asas yang mendasari
dan membentuk sistem pendidikan Malaysia daripada peringkat yang paling
rendah hingga kepada peringkat tertinggi iaitu universiti. FPK
menjelaskan tujuan dan matlamat pendidikan untuk individu dan negara.
Kedua-dua tujuan selaras, iaitu untuk melahirkan insan yang berilmu,
berakhlak mulia dan bertanggungjawab yang juga akan menjadi seorang
warganegara yang baik. Pendidikan merupakan proses asas dan utama untuk
pembinaan insan yang baik, seimbang dan bersepadu yang secara langsung
merupakan saluran utama dan yang paling penting untuk menjayakan hasrat
dan cita-cita negara.
Salah satu yang terkandung dalam FPK adalah falsafah tentang manusia
yang berasaskan kepercayaan kepada Tuhan dan agama. Matlamat pendidikan
adalah untuk membangunkan semua aspek diri manusia secara harmonis dan
seimbang supaya kesepaduan fitrah diri manusia terpelihara. Berilmu dan
berpendidikan harus menghasilkan budi pekerti yang baik dan akhlak yang
mulia yang sekali gus menjadi cirri-ciri asasi seorang ahli keluarga,
masyarakat dan warganegara yang baik dan terdidik.
Satu konsep asas yang terkandung dalam FPK ialah tentang ilmu, nilai
ilmu dan peranan ilmu dalam pembangunan insan dan masyarakat. Nilai ilmu
terletak pada kebenaran kandungan yang berfungsi bukan sahaja untuk
memaklumkan dan menerangkan kepada manusia akan sesuatu, tetapi lebih
penting lagi ilmu mempengaruhi, mengubah dan membentuk diri serta
masyarakat manusia. Fungsi ilmu yang boleh mengubah manusia dan
masyarakat inilah yang menjadikan sesuatu yang amat tinggi nilainya.
Pendidkan ialah satu proses dan aktiviti sepanjang hayat dan manusia
sentiasa berada dalam keadaan memerlukan perluasan, pendalaman dan
pengesahan kepada ilmu yang ada. Pengalaman bukan sahaja boleh
memperkaya dan mengukuhkan ilmu tetapi juga mencabar dan mengubah ilmu
yang sedia ada pada manusia.
FPK juga melihat individu itu dalam beberapa lapisan pertalian atau
perhubungan. Tujuan pendidikan bukan sahaja untuk pembangunan dan
kesejahteraan diri individu tetapi juga untuk pembangunan dan
kesejahteraan setiap lapisan hubungan individu berkenaan bermula dengan
keluarga, meluas kepada masyarakat dan negara.
Berdasarkan FPK, jelas bahawa tujuan pendidikan tinggi bukan hanya
setakat memperoleh segulung ijazah atau diploma, tetapi adalah untuk
pembangunan diri manusia secara menyeluruh dan seimbang supaya menjadi
seorang insan, ahli keluarga dan masyarakat dan warganegara yang
berilmu, bertanggungjawab, berakhlak mulia, dan berbakti.
No comments:
Post a Comment